Assalamualaikum . Terlebih dahulu pada kesempatan ini saya sebagai
pengetua dan mewakili barisan pendidik dan kakitangan serta para pelajar
SMK TAMAN JASMIN 2 ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua
pengunjung yang sudi melayari laman web sekolah ini.
Semoga laman web ini akan dapat mempertautkan
silaturahim dan hubungan muhibah dengan semua pihak, terutama demi bersama-sama
mempertingkat kemajuan dan kecemerlangan semua sekolah dalam arus pendidikan
perdana di negara ini.
Era dan tranformasi pendidikan alaf ke-21
merupakan arus perubahan di mana guru dan pelajar akan sama-sama memainkan
peranan aktif dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Peranan
guru bukan lagi sebagai dewa tapi sebagai fasilitator aktif bagi mencungkil
potensi yang ada dalam diri pelajar. Pengetahuan, kemahiran dan pengalaman guru
diintegrasikan bagi membina satu pengajaran yang mantap bagi pengajaran dan
pembelajaran yang lebih berkesan.
Oleh yang demikian, saya sangat berharap semoga
barisan pendidik di sekolah ini akan mempertingkat kegigihan dan bakti mulia
untuk sentiasa menjana kecemerlangan sekolah ini ke mercu yang lebih cemerlang,
gemilang, dan terbilang. Saya sentiasa menaruh keyakinan bahawa barisan
pendidik di sekolah ini berkemampuan menaburkan bakti dan bersikap proaktif
untuk memperkasa lagi sekolah ini.
Di samping itu, saya juga berharap semoga para
pelajar dapat mempertingkat ketekunan dalam usaha menimba ilmu, terutama untuk
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Sesungguhnya, ilmu dan pengetahuan
akan menjadi obor yang sangat berguna dalam hidup sepanjang zaman.
Akhir kata, terima kasih kepada semua pihak
yang telah menyumbangkan fikiran dan tenaga dalam usaha membangunkan laman web
ini. Insya-Allah, mudah-mudahan sekolah ini akan terus berada di puncak
kegemilangan.
NOOR LAILAH BINTI MUHAMMAD ZAIN
PENGETUA
SMK TAMAN JASMIN 2
No comments:
Post a Comment